SEJARAH
Galeri Shah Alam telah ditubuhkan di bawah pentadbiran Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan pada 26 Januari 1991 dan dirasmikan dengan sempurnanya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 6 Julai 1991.
Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj semasa baginda menjadi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor yang mana baginda sendiri adalah salah seorang yang meminati dan mencintai seni lukis dengan begitu mendalam.
Bagi merealisasikan ilham tersebut, perbincangan di antara Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, YM Raja Zahabuddin Raja Yaacob (Prof. Dato), Syed Ahmad Jamal(Datuk), Tuan Haji Mohd Musa Ideris dan Encik Kassim Ali (Dato (Dr) yang mahir dan pakar dalam bidang seni lukis dan seni reka, permuziuman dan perundangan telah diadakan dan bersama-sama membantu merencanakan ilham Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, dalam merangka gariskasar fungsi dan penubuhan Galeri Shah Alam di bawah naungan Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan.
Sejarah asal bangunan berbentuk Melayu tradisional ini dibina untuk Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Selangor telah direka bentuk oleh Puan Maimunah Deraman pada awal tahun 1980an. Majlis Bandaraya Shah Alam kemudiannya telah melaksanakan ubahsuai terhadap bangunan ini dengan tujuan untuk memudahkan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti seni Galeri Shah Alam.
Selain itu dengan reka bentuk bangunannya yang memaparkan ciri-ciri seni ukir dan reka bentuk Melayu Tradisional amat bertepatan dengan objektif penubuhan Galeri Shah Alam. Justeru, ianya sejajar dengan usaha-usaha yang akan membawa kepada kesedaran, kefahaman dan penghayatan yang tinggi terhadap kesenian dalam mengintegrasikan masyarakat majmuk di negeri Selangor bagi mempopularkan seni visual dan liberal tanahair.
Galeri Shah Alam sebagai pusat kesenian dan destinasi pelancongan di Lembah Klang terletak di tengah-tengah pusat bandaraya Shah Alam. Bangunannya yang indah dengan reka bentuk kehalusan seni bina Melayu tradisional di kelilingi oleh tasik dan taman rekreasi menambahkan lagi keindahan 'seni' disamping suasana yang aman dan nyaman ianya dapat menarik minat orang ramai untuk mengunjungi Galeri Shah Alam.
RASIONAL
Logo ini telah diilhamkan daripada gabungan beberapa lunas lembut ‘tipografi’ dan metaforik’. Logo yang berkisar daripada cantuman huruf taio “SS” bermaksud ‘Seni Selangor’, dicipta dalam bentuk abstrak menonjolkan ciri-ciri kesenian dan estetika. Ia juga mencerminkan peranan dan fungsi Yayasan Seni Selangor dalam menggalakkan perkembangan seni visual dan liberal.
PERANAN GALERI SHAH ALAM
Mewujudkan koleksi tetap galeri
Memperolehi karya seni visual (lukisan, catan, lakaran, arca, cetakan, fotografi tektil dan lain-lain) dari pelukis terkenal negra dari dahulu hingga kini sebagai himpunan tetap. Perolehan karya – karya luar negara juga dilaksankan sebagai usaha untuk memperkayakan koleksi Galeri.
Menganjurkan pameran
Mengadakan pameran berkala dengan mempelawa para-para karyawan tanah air sama ada secara solo ataupun berkumpulan. Pameran dari pelukis dan institusi-institusi seni dari luar negara juga diadakan khusus untuk memberi peluang kepada masyarakat tempatan menilai serta membuat rujukan terhadap perkembangan seni secara global.
Menganjurkan pertandingan
Sebagai satu cara untuk mengasah dan menggalakkan bakat baru dalam seni visual pertandingan-pertandingan seni lukis, fotografi dan seni cetak grafik peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, daerah, negeri dan kebangsaan sering diadakan.
Pendidikan seni
Program-program seperti kelas bimbingan seni lukis, arca, cetakan tekstil dan fotografi untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa dilaksanakan selaras dengan peranan utama Galeri Shah Alam dalam usaha memberi Pendidikan seni kepada mereka yang berminat.
Kajian dan rujukan
Menyediakan bahan rujukan untuk kajian-kajian seperti buku-buku, majalah, katalog pameran, gambar foto dan slide, risalah yang berkaitan dengan arena seni visual negara dan luar negara.
Program kerjasama
Menganjurkan program kerjasama dengan balai seni lukis negara, muzium negara, muzium seni negeri, galeri-galeri seni tempatan, institusi-institusi seni dari dalam dan luar negara, jabatan kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta negara-negara luar bagi memastikan program-program kesenian dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Piagam pelanggan
Sentiasa bersedia melayan, membantu dan memberi maklumat kepada para karyawan seni, pelukis, penggiat dan pencinta seni.
Memberi maklumbalas kepada pertanyaan berkaitan dengan koleksi atau maklumat koleksi dalam jangkamasa 7 hari waktu bekerja.
Sentiasa peka dengan keperluan mengadakan pameran mengikut kesesuaian.Menganjurkan pameran terbuka galeri shah alam sebagai aktiviti tetap tahunan.
Disamping program-program tambahan seperti pertandingan lukisan, bengkel, kelas lukisan, seminar, symposium, konferensi, ceramah dan bicarawara yang berkaitan turut diadakan.