Garis Panduan Pameran

 
GARIS PANDUAN PAMERAN DI GALERI SHAH ALAM/YAYASAN SENI SELANGOR

 

1.0 DASAR PAMERAN

1.1 Garis panduan pameran  ini ialah sebahagian daripada dasar pameran Galeri Shah Alam untuk memastikan segala gerak kerja berhubung pameran dapat dilaksanakan secara tersusun, lancar dan jayanya.

 

2.0 PERMOHONAN PAMERAN

2.1 Permohonan bertulis untuk mengadakan pameran di Galeri Shah Alam  mestilah dibuat sekurang-kurangnya 6 bulan atau 1 tahun dari tarikh pameran yang akan diadakan dan dialamatkan seperti berikut:-

Pengarah
Galeri Shah Alam
Persiaran Tasik
Seksyen 14
40000 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan

2.2 Cadangan kertas kerja bagi pameran berkenaan perlu disertakan bersama butiran berikut:-

a) Tajuk Pameran
b) Biodata pelukis
c) Tarikh pameran
d) Insuran semasa pengangkutan dan pameran
e) Pembiayaan / tajaan (perlu dinyatakan)
f) Jumlah Karya dan saiz karya
g)Jenis karya
h) Contoh gambar karya

2.3 Tarikh permohonan tertakluk kepada kekosongan program Galeri Shah Alam yang telah ditetapkan sepanjang tahun.

2.4 Sebarang pindaan tarikh pameran dan lain-lain mestilah dimaklumkan segera kepada Galeri Shah Alam bagi memudahkan urusan.

2.5 Penghantaran dan pengambilan semula karya adalah dibawah tanggungjawab pelukis.

 

3.0 PENYUSUNAN DAN PEMILIHAN KARYA

3.1 Karya-karya hendaklah tiba ke Galeri Shah Alam seminggu sebelum tarikh pameran.

3.2 Setiap karya hendaklah disertakan butiran berikut:-

a) Nama pelukis
b) Tajuk karya
c) Media
d) Tahun
e) Harga

3.3 Kesemua karya  akan melalui proses penyusunan dan pemilihan mengikut kriteria standard yang ditetapkan oleh Galeri Shah Alam.

3.4 Penyusunan dan pemilihan dibuat oleh pelukis atau secara bersama dengan pihak Galeri Shah Alam.

3.5 Pihak Galeri Shah Alam berhak menolak mana-mana karya yang dirasakan tidak sesuai untuk dipamerkan.

3.6 Jumlah karya hendaklah berkadar dengan ruang pameran disediakan.

i) Galeri 1   : 60 karya bersaiz : 4 x 4 kaki
ii) Galeri 2  : 30 karya bersaiz : 4 x 4 kaki

 

4.0 PENGGUNAAN RUANG PAMERAN

4.1 Ruang pameran disediakan  secara PERCUMA.

4.2 Ruang  untuk pameran berkenaan ditentukan oleh Galeri Shah Alam dan ini bergantung kepada sifat/bentuk pameran samada pameran sementara  amalan biasa atau hanya sekadar kegiatan akademik semata-mata.

 

5.0 PERSEDIAAN DAN PENGGANTUNGAN KARYA

5.1 Pelukis dikehendaki  menyediakan persiapan asas seperti hook/penyangkut dibelakang lukisan dan tali untuk karya 2 demensi.

5.2 Pelukis tidak dibenarkan menggunakan paku (kecuali yang sediada) staple, pelekat (cecair / bukan cecair) pada dinding atau panel pameran kecuali jenis yang dibenarkan.

5.3 Kebersihan ruang pameran adalah menjadi tanggungjawab pelukis sewaktu pemasangan, penurunan dan pemunggahan.

 

6.0 LANGKAH-LANGKAH KONSERVASI

6.1 Karya akan ditangani mengikut prosedur konservasi preventif yang diamalkan oleh muzium/galeri.  Pihak Galeri Shah Alam akan menyelia dan memberi pandangan dan nasihat kepada semua yang terlibat bagi memastikan kondisi karya tersebut berada di dalam keadaan sempurna.

6.2 Galeri Shah Alam akan memastikan karya berada dalam keadaan selamat sepanjang tempoh pameran.  Namun Galeri Shah Alam tidak akan bertanggungjawab ke atas dan sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku seperti perbuatan nakal (vandalism), kecurian dan lain-lain diluar kawalan Galeri Shah Alam.

 

7.0 LANGKAH PEMULIHARAAN

7.1 Pihak pelukis perlu menginsurankan karya meliputi urusan  pengangkutan dan pameran.

7.2 Sebarang kerosakan, kecurian atau kebakaran semasa tempoh pameran akan dituntut gantirugi dari pihak insuran mengikut nilai yang diinsurankan oleh pihak pelukis.

 

8.0 PEMBIAYAAN

8.1 Pihak Galeri Shah Alam dalam keadaan biasa tidak membiayai mana-mana pameran kecuali yang dianjurkan oleh Galeri Shah Alam sepenuhnya.  Namun pelukis boleh memohon subsidi untuk meringankan beban kos.  Subsidi ini bagaimanapun bergantung kepada kes-kes tertentu mengikut kemampuan Galeri Shah Alam dan diluluskan oleh Ahli Lembaga  Galeri Shah Alam.

 

9.0 PEMULANGAN KARYA

9.1 Tarikh penurunan karya adalah sehari selepas tamat tempoh pameran.

9.2 Pelukis diberi tempoh satu minggu untuk mengambil semula karya.

9.3 Pihak Galeri Shah Alam tidak bertanggungjawab ke atas sebarang

kerosakan atau  kehilangan selepas tempoh satu minggu tersebut.

9.4 Sekiranya karya tidak diambil selepas satu bulan dari tarikh berakhirnya pameran Galeri Shah Alam berhak melupuskan karya samada, melelong, menjual atau dengan apa jua cara sekalipun.

 

10.0 HAK KE ATAS KARYA

10.1 Galeri Shah Alam berhak memilih mana-mana karya untuk penyediaan katalog, brosyur, poster dan sebagainya untuk tujuan promosi.

10.2 Galeri Shah Alam akan mengambil 15% daripada jualan lukisan.

 

11.0 CENDERAHATI

11.1 Pelukis diminta  menyumbang satu karya untuk dijadikan Koleksi Galeri Shah Alam dengan nilai yang munasabah.

 

12.0 SAIZ PROMOSI / CETAKAN

12.1 Banner Pintu Pagar Masuk Galeri Shah Alam

  • 54 x 130 in

12.2 Backdrop Pentas Utama

  • 81 x 269 in

12.3 Backdrop Panel Perasmian (Galeri 1)

  • 104 x 154 in

12.4 Bunting

  • 24 x 72 in

12.5 Info Pameran (Galeri 1 & Galeri 2)

  • 96 x 48 in

12.6 Panel Pameran Bergerak (Galeri 1)

  • 104 x 377 in

12.7 Plak Tandatangan Perasmian

  • A2:  23.4 x 16.5 in